Jumaat, 1 Julai 2011

Naik Pangkat?

Hari ini saya mengambil cuti tahunan sehari. Membawa keluarga bersiar di Zoo Melaka. Hati ini geletek melihat gelagat anak yang mencuit hati. Namun jauh disudut hati. Saya sebenarnya kecewa. Motivasi kerja saya berada di tingkat yang paling rendah. Hari jumaat lalu, organisasi dimana saya bekerja akhirnya mengumumkan keputusan pemilihan pegawai ke level pengurus dan malangnya nama saya tidak tersenarai. Sebenarnya saya kecewa bukan kerana nama saya tidak terpilih. Saya akur dengan ketentuan tuhan, masih ramai lagi pegawai senior yang belum naik pangkat. Saya redha andai mereka didahulukan sebab usia mereka bersama organisasi bersisa 3-5 tahun lagi. Namun yang saya ralatkan ialah terdapat nama-nama yang saya rasakan belum layak jika berbanding saya.

Sudah 12 tahun saya setia di organisasi ini. Jika fikir tentang gaji atau benefit sudah lama saya tinggalkan. Tapi satu perkara yang membuatkan saya menyayangi organisasi ini adalah kerana ilmu yang telah saya perolehi. Selama 12 tahun saya sanggup bersusah payah mencurahkan segala bakti kepada organisasi ini. Namun 2 tahun lepas, saya menerima email daripada HRD bahawa terdapat kekosongan yang banyak dijawatan pengurus dan pengarah kesan daripada transformasi organisasi seperti yang dicanangkan oleh CEO dalam ucapan-ucapannya. Saya menyahut cabaran tersebut dengan menghadiri temuduga kenaikan pangkat 2 tahun lepas. Punyalah payah . soalan-soalannya sahaja lebih sukar berbanding ketika temuduga permohonan kerja dahulu. Namun, saya yakin saya telah berjaya menjawab semua soalan dengan betul dan mesra.

Selepas sesi temuduga selesai pada april 2009, saya sering mendapat khabar angin mengatakan senarai kenaikan pangkat akan keluar selaras proses transformasi organisasi. Tiada jaminan pegawai yang dinaikkan pangkat akan kekal di sesuatu jabatan atau cawangan. Para pegawai juga dimaklumkan bahawa beberapa KPI akan diseliakan dan dijadikan asas kenaikan pangkat selain daripada markah temuduga. Antaranya jumlah jam sumbangan masa atau OT dalam setahun, prestasi kerja yang cemerlang dan penglibatan dalam organisasi. Semua perkara ini ditekankan berulang kali oleh pengarah Cawangan saya setiap kali mesyuarat bulanan. Terkesan dengan semua itu, saya tangguhkan hasrat untuk membeli rumah di lembah kelang takut-takut ditukarkan ke cawangan luar KL sekiranya dinaikkan pangkat. Tak cukup dengan itu, saya berusaha gigih setiap hari, setiap bulan dan sepanjang tahun memastikan prestasi kerja yang cemerlang dan melakukan kerja selepas waktu pejabat hampir setiap hari. Saya juga berusaha kekal aktif dalam kelab dan mewakili organisasi dalam acara sukan. Beberapa tawaran pekerjaan lain yang saya terima selepas itu juga saya tolak kerana sayangnya saya kepada organisasi ini. Seperti lirik sebuah lagu popular, kasihku tiada banding, setiaku tiada tara, bagaimanapun jua…

Setelah dua tahun, akhirnya senarai nama pegawai yang dinaikkan pangkat keluar. Nama saya tiada dalam senarai. That’s it. End of the story. Sedih dan kecewa. Tapi lebih kecewa bila terdapat nama-nama pegawai yang kurang layak berbanding saya dinaikkan pangkat. Ada pegawai yang dinaikkan pangkat tetapi punya prestasi kerja yang kurang cemerlang. Ada pegawai yang lansung tidak mencukupi syarat-syarat minimum yang ditetapkan pun seperti jumlah sumbangan masa yang tidak mencukupi dan tidak aktif dalam kelab dan persatuan. Nah ! terasa betapa naifnya saya. Betapa saya terlupa wujudnya perkataan kroni dan kabel dalam kamus hidup manusia. Rupa-rupanya, dalam senarai tersebut terdapat nama-nama yang dicalonkan oleh pengarah-pengarah negeri, cawangan dan jabatan dan nama saya tiada. Saya sememangnya tahu bahawa dalam politik pejabat , ini perkara biasa. Secara jujurnya, saya sangkakan HRD akan memilih pekerja yang telah berusaha gigih menunjukkan prestasi cemerlang di dalam kerja, temuduga, sumbangan masa dan penglibatan. Saya fikir transformasi yang dicanangkan oleh CEO dan pengarah-pengarah atasan adalah telus dan adil. Rupanya adalah palsu semata, semua kata-kata peransang CEO untuk kenaikan pangkat berdasarkan merit prestasi seseorang pegawai hanyalah retorik belaka. Saya tertipu dengan satu harapan palsu. Naifnya saya.

Memang saya kecewa tapi ada insan yang lebih kecewa lagi iaitu ibu saya. Saya tahu dalam doa dan sujudnya tidak pernah sekalipun beliau terlupa mendoakan untuk saya. Bukan wang ringgit saya yang beliau mahukan tetapi apa yang dikehendakinya ialah saya mampu hidup lebih bahagia dengan kenaikan pangkat dan kenaikan gaji yang bakal diperolehi.

Kerana kekecewaan ini juga membuatkan saya terdiam dan termenung. Merenungi akan kesalahan-kesalahan yang telah saya lakukan. Bukan sedikit doa yang telah saya pohonkan dari ALLAH. Namun dalam kesedihan itu, saya sempat membaca sebuah majalah bernama solusi yang pernah saya beli setahun lalu tentang murtajabnya doa seorang hamba ALLAH. Terasa betapa hinanya saya yang hanya tahu memohon doa kepada tuhan sedangkan selama ini saya selalu alpa dalam mensyukuri nikmatNya. Seharusnya saya harus bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi daripada ALLAH dan bersabar dengan sesuatu yang ditentukan ALLAH. Ada hamba yang dimakbulkan doanya serta-merta. Dan ada juga hamba ALLAH seperti saya yang doanya ALLAH tangguhkan pada waktu yang lain kerana ALLAH jua yang Maha Mengetahui sesuatu yang terbaik untuk hamba-hambanya.

ALLAH kurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu ada rasa syukur supaya ia tidak menjadikannya kufur dengan kekayaan. ALLAH juga kurniakan kekuasaan setelah wujud dalam hati seseorang hamba rasa tawaduk dan sifat adil supaya ia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa. Akhirnya saya bersyukur kepada ALLAH dan redha dengan ketentuanNya. Mungkin doa saya untuk naik pangkat akan dikabulkan ALLAH pada waktu yang lain. Sebenarnya seringkali ALLAH menahan pemberianNya kerana kasih sayangNYa terhadap seseorang hamba. Dinukilkan oleh Prof Dr K.H. Muhibuddin dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: Kadang-kadang ALLAH memperlambatkan dalam memperkenankan doa mereka kerana ALLAH sangat suka dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-hambaNya itu kepadaNya.

Seusai sampai dirumah selepas pulang dari berjalan-jalan di Zoo Melaka, saya segera menunaikan solat zohor kemudian berzikir dan memohon keampunan dari ALLAH atas segala dosa-dosa saya. Saya juga tidak lupa berdoa agar diberikan rezeki yang halal untuk diri dan keluarga. Fikiran saya mula tenteram dan aman. Saya redha dengan semua ketentuan ALLAH.Kita hanya mampu merancang dan berdoa. ALLAH jua yang maha berkuasa atas segala-galanya dan sekiranya ALLAH berkehendakkan sesuatu perkara yang baik atau yang buruk itu terjadi , maka akan terjadilah ia. Kun faya kun.

1 Ulasan:

Blogger sitinoor berkata...

sabar la...semoga Allah sentiasa bersamamu... amin.

3 Julai 2011 7:00 PG

 

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama