Krisis di Perak. Mencari pengertian yang tersirat.
Soho KL
11 pagi 22 Mei 2009
Saya dilahirkan dan dibesarkan di ibukota Kuala Lumpur. Kalau ikut faham rakyat Malaysia, saya ni boleh dikatakan orghang KL. Namun negeri Perak mempunyai aura dan sentimen kenegerian yang cukup menebal dalam diri saya. Ayah dan ibu saya berasal dari Perak. Ibu saya berasal dari Mukim Kampung Gajah Perak manakala arwah ayah saya berasal dari Kuala Kangsar. Mereka berhijrah mencari rezeki di KL dan bertemu jodoh juga di KL. Namun resam adat budaya dan cara hidup orang Perak mengalir dalam tubuh saya dan adik-adik.
Negeri Perak tidak boleh hilang dalam hidup saya. Sejak kecil, saya akan menyambut malam aidilfitri di Kampung Pulau Tiga bersama arwah opah tersayang. Hanya pada pagi raya aidilfitri kedua, baru saya sekeluarga akan mudik berkereta ke Kuala Kangsar berjumpa adik beradik arwah ayah. Sudah menjadi ketetapan bagi keluarga ayah untuk berjumpa dalam satu keluarga yang besar di hari raya kedua di Rumah Pusaka.
Arwah ayah juga selepas pencen menetap di sebuah rumah yang saya belikan di Ipoh. Itulah sebabnya jiwa saya dekat dengan Negeri Perak. Namun apabila krisis politik melanda negeri Perak. Hati saya menjadi pilu dan hancur. Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak baik BN atau PR. Namun tingkah laku kesemua pihak yang terlibat dalam insiden keributan politik ini menyentap rasa hormat saya kepada mereka.
Mungkin pada ketika ini semua rakyat Malaysia telah maklum bahawa mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Dr Zambry adalah MB Perak yang sah manakala YB Ir Nizar telah terlucut jawatan MB Perak dengan sendirinya apabila beliau tidak mempunyai sokongan majoriti adun. Mungkin ramai pihak yang mempertikai keputusan berkenaan. Suka atau tidak, saya sangat berharap agar sandiwara politik dan kekeliruan parti sebenar yang berhak memerintah Perak agar dihentikan. Lupakanlah seketika dengan hal politik yang gila dan meracau ini. Marilah kita kuatkan barisan dan kembali kepada realiti. Apalagi kalau bukan kepada agenda memperkasakan pendidikan, ekonomi dan pembangunan diri, organisasi dan negeri Perak dan Malaysia.
Saya fikir kita perlu mengambil iktibar dari episod hitam yang terjadi. Daripada sekecil-kecil masalah, ia telah merebak menjadi konflik yang telah menelanjangkan keperibadian setiap individu yang terlibat daripada sekecil-kecil pangkat polis bantuan di pintu masuk Bangunan SUK negeri Perak hingga kepada Tuanku Sultan Perak yang dikasihi oleh rakyat jelata.
Sekilas isu yang menerejah politik Perak, semuanya bermula dengan kemenangan tipis PR pada PRU12 yang lalu. Banyak cerita umpanan dan tawaran wang ringgit yang dilayangkan antara kedua pihak BN dan PR untuk membeli adun. Wayang kekacauan politik bermula apabila dua adun Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (KeADILan-Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (KeADILan-Changkat Jering ) ditangkap BPR kerana atas tuduhan rasuah wang dan sedekah seks. Geli geleman saya mendengarnya ketika itu. Jika inilah contoh pemimpin yang ingin diketengahkan oleh DSAI bagi parti KeADILan, alamat Malaysia ni boleh bungkus. Adake hendak disamakan seks dengan sedekah? Bengap dan tolol. Pada saat itu saya telah melihat bahawa badai dan taufan bakal melanda politik negeri Perak.
Jangkaan saya tepat. Mereka kemudian bersama Hee Yit Foong (Adun DAP-Jelapang), keluar dari parti masing-masing untuk menjadi Adun bebas dan menyokong BN. And the rest is history. Semua yang terlibat kemudiannya menunjukkan kebodohan dan kepandiran yang mencetuskan kecengangan rakyat dengan mulut yang luas melopong. Dan bermula episod kebudak-budakan semua pihak. Namun, saya bukanlah ingin sangat nak bercerita tentang YB Nizar masih hendak menegakkan benang basah atas kerajaan yang telah hilang majoriti. Sudahlah. Lupakan jawatan MB. Lebih baik bakti dan usaha dicurahkan untuk kawasan Parlimen Bukit Gantang yang telah dimenangi daripada turun naik mahkamah. Bukan juga ingin bercerita tantang MB Zambry yang jelas menunjukkan kerakusan untuk berkuasa. Akibat tidak sabar menunggu sidang dewan dibuka, polemik politik menjadi parah. Inilah contoh orang yang gila kuasa. Saya juga tak shior (tak nak) bercerita tentang SUK yang celupar dan kurang ajar sangat hingga membiarkan dirinya menjadi kuda tunggangan orang lain. Contoh mengunci dewan dan mengambilalih dewan menunjukkan beliau seorang tidak amanah dalam tugasnya. Hidup ini bukan untuk menongkat dunia. Selepas pencen kita akan dihina jika sewaktu berkuasa, kita melampaui batas. Bukan juga untuk bercerita berkaitan orang tinggi Polis yang kononnya berkata pihak Polis tidak berkuasa untuk bertindak di perkarangan dewan parlimen tapi boleh bersenjata memasuki dewan undangan negeri Perak. Bukan juga untuk menghina penyokong yang meniarap didepan kereta Sultan, pengunjung laman web yang meninggalkan kata-kata kesat, tentang laywer Negara yang suka sangat mencelah dan menyampok perbualan orang tua-tua tanpa terlebih dahulu memberi salam, tentang Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan yang ada cepat ada lambat memberi kehakiman mengikut timbangan dacing kiri dan kanan walau orang sekarang dah lama pakai alat penimbang elektronik, tentang nasib dan hidup kereta-kereta cambry V6 yang bakal dilelong, tentang ceritera anak raja yang berkobar-kobar dalam satu simposium mengatakan bahawa Raja perlu adil dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tentang Adun Bota didepan 10 ribu penyokong PR yang bersumpah untuk menceraikan BN dengan talak tiga, tentang ceritera hikayat kontrak biliionan ringgit Malaysia yang kononnya menanti Gamuda Berhad, tentang JKKK Kampung antara puak BN dan PR yang bergaduh dan bertengkar berebutkan kunci balairaya, kunci tadika, kunci masjid, borang agihan subsidi felda, risda dan felcra samada di Changkat Lada atau seluruh negeri Perak, tentang pokok demokrasi yang nyaris ingin ditebang oleh MBI tanpa dipedulikan jasanya salama ini mengindahkan landskap bandaraya Ipoh walau kerap dikunjungi oleh pembeli nombor ekor sejak dua menjak ini, tentang nasib kontraktor-kontraktor kelas F yang tertangguh bayarannya kerana tak tahu sign siapa yang sah sekarang ni. Tentang speaker Halal dan speaker Haram. Dan juga pastilah saya tidak hingin cerhita tentang mamak tukang guntin ( huruf g memang takde) yang nyewa sebelah pusat adun jelapang yang kononnya dah hilang pelanggan dan sering diganggu pengokong DAP.
Perkara sebenar yang saya ingin kongsikan ialah pengertian sebenar disebalik semua yang berlaku di Perak. Ianya tentang erti kesetiaan dan makna pengkhianatan. 3 Adun PR dan sandiwara muka toyo Adun bota itu adalah tanda orang-orang yang munafik, tidak boleh dipercayai dan pengkhianat yang perlu di nyahkan dari bumi Perak tercinta. Kepada penyokong dan pemimpin BN yang bergembira dengan penghijrahan katak-katak terbabit dan menuduh DSAI sebagai puncanya, tak perlulah membongkak kata. Sebenarnya saya sangat benci kepada pengkhianat. Duri dalam daging. Gunting dalam lipatan. Memang saya akui saya memang benci dengan cadangan gila DSAI yang kononnya sudah ada angka mencukupi jumlah Adun parlimen BN yang akan melompat ke PR dan menakluk putrajaya. Semuanya Poorah! Bukan itu caranya untuk berkuasa dan memerintah. BN pulak satu hal. Mengutuk DSAI dengan idea Adun melompat tu sudah betul tapi apabila BN sendiri membeli 3 katak PR untuk melompat , itu sudah salah. Bak umpama sang hakim yang pot pet pot pet berceramah kepada pembeli nombor ekor yang ditangkap ketika baru nak melangkah didepan kedai magnum sedangkan beliau sendiri membeli nombor ekor secara online di pejabatnya. Ataupun dengan kata lain, seperti seseorang yang marahkan orang lain yang ingin membuat salah tapi akhirnya orang itu tak de kesempatan nak buat salah, orang yang marah-marah tu pulak yang terlibat membuat jenayah. Kalau yang dibeli tu adun yang baik, berpotensi dan berkaliber seperti TGNA oklah jugak. Ini yang BN pancing adun yang sudah terpalit skandal rasuah dan memfopulorkan slogan `seks itu sedekah’, buat apa?
Kepada penyokong dan pemimpin PR yang asyik nak menyalahkan orang lain. Semuanya tak betul. Polis tak betul. Hakim tak betul. SUK tak betul. TV1 sampai TV9 campur astro tak betul. AG tak betul. Jaga dan Polis Bantuan Bangunan SUK tak betul. Habis yang betul sape? Sedar-sedarlah sikit. Kalau dah hilang majoriti tu sudahlah. Apa nak dikato? Sape suruh letak calon-calon adun tak boleh pakai dan yang anggap seks adalah sedekah dan sedekah adalah 2 kali 5 dengan seks? Next time dalam PRU13, pilihlah calon-calon yang tahu membaca Al-Fatihah, Rukun Iman dan Rukun Islam.
Marilah kita belajar dari sejarah silam. Jatuhnya kota Melaka kepada Alfonso bukan kerana tentera Portugis tu ramai dan kuat dengan senjata api. 3 kapal je yang serang Melaka tapi Melaka kalah juga. Kerana apa? Kerana pengkhianatan rakyat sendiri. Banyak sudah Sultan-Sultan Melayu dahulu kalah yang hilang takhta singgahsana, negeri dan wilayah jajahan kerana ada pembesar yang belot dan rakyat yang menjadi pengkhianat. Sultan Melayu telah hilang Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pulau Temasek kepada Britirash. Pengkhianat dan pembelot Melayu juga wujud semasa Jepun menakluk Tanah Melayu. Rakyat Perak juga khususnya harus belajar kembali sejarah Perak betapa Ngah Ibrahim dan Datuk Maharajalela berjaya ditangkap dan dipedaya British dengan bantuan pegkhianat bangsa sendiri.
Secara peribadianya, masalah kepada satira politik yang membadai ini tidak akan berlaku sekiranya 3 adun yang melompat tadi termasuk adun bota yang gila meroyan tu sedar dan berpijak di bumi yang nyata. Sekiranya mereka sedar yang mereka memikul amanah dan harapan penyokong PR yang telah memangkah mereka semasa PRU12 dahulu, pasti mereka sendiri tanpa segan silu akan meletak jawatan dengan rela hati. Isu dalaman tidak puas hati dengan kepimpinan PR adalah isu basi yang tak mampu untuk meyakinkan rakyat. Meletak jawatan adalah cara yang terhormat. Biarkan sahaja rakyat memilih semula wakil rakyat di 4 dun berkenaan iaitu, bota, jelapang, changkat jering dan behrang. Yang menang akan memerintah. Yang mengundur diri akan terus dihormati kerana tidak akan dianggap petualang parti. Namun adakah mereka berani?
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama