Pesan Pak Kiyai
Ceramah Maulidur Rasul 2011 Masjid WPKL. Segar diingatan saya minggu lalu, saya berkesempatan singgah untuk membaca Yassin malam jumaat di masjid WP Kuala Lumpur di Jalan Duta. Seusai doa maghrib, imam muda yang memimpin solat terus menyerahkan microfon kepada seorang ustaz yang saya biasa lihat wajahnya. Secucuk tubuh kurus lampai kiyai Gymnastiar dari Indonesia yang selalu muncul dengan ceramah pengurusan kalbu menampakkan senyuman ikhlasnya.
Dikesempatan ini ingin saya sampaikan pesanan beliau dalam ceramahnya untuk kita menghayati bersama dan moga ilmu yang ada dapat dikongsi bersama untuk kebaikan semua.
Menurut kiyai Gymnastar, jika kita ingin melakukan amalan baik yang ikhlas, hendaklah kita melakukan semua amalan kebaikan dengan keikhlasan hati. Untuk perolehi keikhlasan hati hendaklah diamalkan 5 perkara berikut;
1. Amalan kebaikan yang dilakukan jangan ingin diketahui oleh orang lain
2. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dilihatkan kepada orang lain
3. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dipuji oleh orang lain
4. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dihargai oleh orang lain
5. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dibalas budi kita oleh yang menerimanya.
Menurut kiyai Gymnastiar juga pujian yang kita terima dari manusia di muka bumi ini adalah kerana Allah swt telah menutupi setiap insan dengan tiga perkara iaitu kulit, Akal & hati dan dosa serta lemah diri. Jika Allah perlihatkan segala akal jahat, buruk hati, dosa-dosa yang kita telah lakukan serta segala kelemahan diri untuk tatapan manusia lain, nescaya kita akan tergolong dalam manusia yang penuh kehinaan di muka bumi ini. Tetapi Allah swt menutupi segala yang buruk dalam diri kita dari pandangan manusia lain. Jesteru itu hendaklah kita insaf dan membaiki segala buruk dan hodoh dalam diri dan jiwa kita.
Beliau juga menggariskan amalan-amalan kebaikan yang boleh meningkatkan martabat kita di sisi Allah swt . Antaranya ialah;
1. Jangan membalas keburukan yang diterima dengan perlakuan keburukan kita. Sabarlah dan insafi diri. Segalanya ujian dari Allah swt.
2. Jangan jadi megah dan bangga dengan hormat (penghormatan) orang lain. Ada orang hormat kita kerana kebaikan kita, ada orang hormat kita kerana ilmu kita dan ramai orang hormat kita kerana kekayaan dan pangkat yang kita miliki.
3. Jadilah jujur dengan diri sendiri. Maka nescaya kita juga akan jujur dengan manusia lain dan dengan Allah swt. Segala pangkat dan harta adalah amanah Allah swt. Sedarlah dan insafi diri bahawa Allah swt itu maha berkuasa dan di atas segala-galanya.
4. Jika kita melakukan amalan kebaikan lakukan dengan penuh rasa ikhlas dan rendah hati serta lupakan. Lakukan kebaikan dan lupakan. Percayalah Allah swt tidak akan lupa.
5. Akhirnya kita harus mengerti makna ikhlas. Ikhlas itu melakukan kebaikan demi Allah swt dan bukannya demi sesuatu yang lain. Nasihat kiyai Gymnastiar kepada semua ibubapa ialah lakukan tanggungjawab mendidik anak-anak demi dan untuk Allah swt dan bukannya didik anak untuk harapan disuruh anak membalas budi bila kita sudah tua. Jika kita mendidik anak demi Allah swt, maka anak-anak akan sendirinya juga membalas perbuatan kita demi Allah swt juga apabila dia dewasa.
Itulah pesan kiyai Gymnastiar yang sangat mendalam dan menyentuh kalbu saya. Lakukan kebaikan dengan ikhlas dan lupakan. Sentiasa sabar dan insafi diri. Moga saya dan tuan-tuan sentiasa mendapat hidayah Allah swt dan berada di jalan yang lurus. Amin.
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama