Isnin, 12 Mac 2012

Bayarlah Hutang Anda.....

Jun 2006


Penat bekerja, saya dikejutkan dengan panggilan hp dari bonda tercinta. Katanya ada surat lawyer sampai kerumah. Saya disaman oleh partner lawyer sebuah agensi perbadanan bumiputra kerana berhutang. Berhutang? sape yang saya hutang? Seingat saya, saya hanya ada hutang kereta jepung yang setiap bulan saya bayar dan hutang rumah yang dah dipotong dari gaji. Hutang lain, mungkin dengan anak-anak le, sebab sampai sekarang saya tak terbelikan lagi barang permainan PS3 yang saya janjikan dulu..
Setelah diselidik, akhirnya saya ketahuin yang ianya adalah hutang pinjaman komputer berjumlah hampir RM6 ribu seorang kawan yang saya jamin ketika belajar dulu. Gila saya dibuatnya..itu hutang 12 tahun dulu ! (1994). Kenapa pula kawan saya ni tak bayar hutang beli komputernya? Bukankah dia dari keluarga yang berada dan dihormati di Pantai Timur Malaysia dan khabar terkini yang saya pernah dengar ialah beliau menjawat jawatan tinggi. Muka mamat hensem ni pulak pernah keluar kat telibesen dan qoran harian. Sebelum saya dijadikan kambing hitam, dengan sedaya upaya saya cuba mengesan mamat hensem ni tapi tak jumpa. Hanya sebulan kemudian, melalui seorang kawan saya mendapat maklumat mengenai isterinya. Tanpa segan silu saya beranikan diri menghubungi isteri jelita mamat hensem ni dan menceritakan masalah saya. Beliau akur dan berjanji akan menasihati suaminya. Syukur, hilang pening saya.
Julai 2008.

Ketika pulang bercuti ke rumah bonda, saya terima lagi notis terkini daripada partner lawyer berkenaan. Hutang komputer tersebut masih belum dijelaskan. Tindakan lanjut ialah ke mahkamah. Sekali lagi saya menelefon isteri jelita mamat hensem berkenaan. Terkejut beliau. Katanya suaminya sudah berjanji dulu untuk menyelesaikan hutang berkenaan.

Saya cakap very the simple. Tolonglah bayarkan hutang suami anada dan jangan menyusahkan saya.
Mei 2010.

Surat amaran bertanda merah diterima lagi dari pejabat lawyer berkenaan. Kes sudah didaftarkan di mahkamah dan saya sebagai penjamin akan turut sama di saman. Apalah nasib saya. Orang lain yang sedang makan kek, saya yang kena jilat pinggan.

Setelah 3 hari bersusah payah menggoogle dan bertanyakan kawan-kawan lama perihal mamat hensem ni. Akhirnya saya mendapat no telefon opisnya. Siap ada PA suara seksi sekali yang menjawab panggilan telefon saya. Kalau kerja dah ada PA, maknanya jawatannya tentulah hebat dan terbilang. Gajinya tentulah mencecah lima ke enam angka.

Saya akhirnya dapat juga bercakap dengan mamat hensem tersebut. Mula-mula buat tak ingat nama saya. Lepas seminit barulah nak buat-buat kenal. Biasalah orang dah kenyang makan kek mana nak ingat orang kena jilat pinggan kek dia. Saya sound slow aje;

“Bro, hutang komputer haritu bayarlah bro, dah 17 tahun. Banyak kali saya dah dapat surat lawyer”

“Sorrylah, for sure bulan ni juga, saya settlekan…saya-betul-betul terlupa…”biasalah jawapan seorang Executive Director yang selalu sibuk terbang luar negeri.

Jan 2012.

Ketika pulang ke rumah bonda, saya terima lagi surat kaler putih dari pejabat lawyer berkenaan yang berbunyai sebutan kes tuan adalah pada tarikh sekian….sekian….encik dikehendaki menghubungi En xxxx untuk tujuan memudahkan urusan mahkamah. Ini memang sudah kes gila….ini dah bukan cerita orang makan kek saya yang jilat pinggan, ini dah kes orang lain berak tengah rumah, saya yang kena basuh….
Apa ikhtiar saya? Mungkin ini ujian Allah kepada saya. Saya tarik nafas dalam-dalam. Istigfar dan bertenang. Try to control my anger. Saya lekas ambil wuduk dan dirikan solat sunat. Mohon keampunan atas dosa yang saya tidak sedari. Saya juga memohon agar Allah berikan hidayah untuk menyelesaikan masalah saya.
Kemudian datanglah ilham agar saya terus menghubungi pegawai di Jabatan Kredit agensi bumiputra berkenaan. Saya terus menelefon pegawai kawalan kredit terbabit dan terus menceritakan masalah saya. Saya juga terus memberikan semua butiran mengenai mamat hensem tersebut. Alamat dan no telefon pejabatnya. Menurut pegawai berkenaan, semua surat yang dihantar kepada mamat hensem tersebut dipulangkan dan beliau tidak dapat dikesan. Mamat hensem tu pulak dah lama melupakan hutang komputernya.
Sejak dari itu, saya tidak lagi terima surat dari pejabat lawyer berkenaan. Saya doakan moga-moga mamat hensem tu insap. Bayarlah hutang sendiri. Jangan susahkan mana-mana pihak yang telah memberi anda pinjaman dan juga orang lain yang bersetuju menolong anda menjadi penjamin.
Bagaimana nanti jika mamat hensem tu tak bayar jugak dan saya pun kena saman kat mahkamah…senang aje….saya ingat lepas ni saya nak iklankan kat fesbuk aje muka mamat hensem yang suka terberak ditengah rumah tu…..busuk dan meloyakan kepada orang lain!

Cuma pesan saya kepada mamat hensem ni kalau-kalau beliau terbaca kisah saya ini..….bayarlah hutang anda dan jangan susahkan hidup saya. Dan Terimalah lagu istimewa nyanyian jamal ini….

…….aku maafkan kamu, tak perlu kita bertemu cukup kau tahu, yang aku maafkan kamu, tolong teruskan hidup jangan sebut namaku……….

Selasa, 28 Februari 2012

Doa Barang Hilang

Saya pernah kehilangan cincin peninggalan arwah ayahanda tercinta. Puas mengeledah seisi rumah namun tidak ketemuin. Sudahlah harganya mahal, namun pusaka orang tua yang saya risaukan. tiga hari mencarinya tidak ketemuin juga.

Saya mula risau. selepas solat tidak henti-henti saya berdoa. moga Allah terangkan mata saya dan menjumpainya semula. Akhirnya saya berikhtiar menelefon Insan Soleh memohon cadangan dan pertolongan. Beliau mengajarkan saya doa berikut.

1. Doa bila barang disayangi hilang

Ambil segelas air dan seusai solat fardu, bacakan ayat beikut;
Surah Al-fatihah 3x
Surah Al-ikhlas 3x
Surah Ad Duha 3x
Selawat 3x
Kemudian bawa selas air berkenaan ke luar pintu rumah kita, minum sedikit dan selebihnya basuhlah muka kita dengan membiarkan airnya jatuh ke tanah.
Niatkan juga untuk bersedekah sekiranya barang yang hilang berkenaan dijumpai.

Alhamdulillah setengah jam kemudian saya temuin cincin pusaka arwah ayah di balik pakaian yang berlipat.
Syukuran.

Isnin, 20 Februari 2012

Janganlah melabur dan tak perlulah melabur lagi.

Cerita 1
2012.

Saya membaca sebuah iklan di akhbar Utusan. Sebuah syarikat bumiputera menjemput orang ramai ke roadshow dan taklimat bisnes plan. Nama program gempak habis. Program USAHAWAN XXX. Jual apa? Mesin air mineral aje. Modal permulaan disediakan. (bukan percuma tapi bantuan pinjaman peribadi). Ianya mungkin satu iklan yang sudah biasa kita lihat, tapi apa yang menarik perhatian saya ialah iklan berkenaan disertakan sekali dengan testimony pujian melangit daripada orang kuat Dewan Perniagaan XXX kononnya sebagai satu program hebat melahirkan usahawan hebat.

Alahai, geli geleman saya mendengornye. OKlah kalau hebat sangat, saya pun teringin juga nak menyertainya. Tetapi sebelum itu pantang saya kalau tidak menggoogle mengenainya dahulu. 2-3 pages pertama. Semuanya hebat. Masuk pages ke-5 saya tertarik ke sebuah laman sembang. Tu dia, begitu banyak soksek-soksek peserta yang mengaku dah jadi mangsa dan teraniaya. Cakap tak serupa bikin. Konon company melayu nak tulung melayu. Akhirnya duit pendaftaran hangus sebab pinjaman peribadi tak lulus. Lebih malang bila ada peserta yang mendakwa pulangan pelaburan tidak seperti yang dijanjikan oleh syarikat. Laa, ini ke program usahawan yang direkomen kuat oleh orang kuat Dewan Perniagaan XXX tu? Ini bukan program nak ajar orang jadi usahawan. Ini program penipuan pelaburan yang berselindung disebalik nama usahawan.

 Cerita 2
Masjid Wilayah, Disember 2008.

Seusai solat Jumaat, saya disapa oleh seorang perempuan melayu genit bertudung di pintu keluar di Anjung C. Wajahnya yang cun melecun ditambah bahang mentari jam 2 petang, membuatkan hati saya cair untuk menatap keayuan serinya.

“Mari Cik Abang join program pelaburan kami. Syarikat usahasama antarabangsa dalam pelaburan rumpai laut di Malaysia Timur. Cik Abang hanya perlu beli lot sangkar. Keuntungan lebih 300 persen selepas 12 bulan” aduh! ceritera gadis manis ini bisa merobek jantung hati saya. Kata-kata puitisnya membuatkan saya terpaku mendengar siulan cintanya. Mudah benar kaki saya terkaku dan minda saya terjebak dengan pujuk rayunya. Serapah apa yang digunakannya kerana mudah saja saya jatuh cinta dengan pukulan jampi si gadis ayu. Namun saya sempat menahan sabar, setelah setengah jam mendengar ceritera HEBAT, saya minta lolongan ke kamar opis.

 Sesampai di bilik opis yang berhawa beku, seorang kawan lelaki saya menyapa “Hai, asyik benor aku lihat kau mendengar cerita cinta awek cun kat masjid tadi?”.
“Saje sesekali melayan. Kau tak joinke?” Tanya saya.
 “aku dah ambil pamplet dia. bohonglah tu semua. Kau jangan percaya!”kata kawan tadi. Ya, betul! memang bohong.
 Bila saya menyiasat perihal syarikat yang kononnya usahasama antarabangsa tu, terlalu banyak info yang meragukan. Yang pasti hanyalah sepasukan conmen yang berselindung disebalik pelaburan rumpai laut. Tawaran kepada saya adalah untuk membeli lot sangkar pembenihan rumpai laut dan projek telah dirasmikan oleh seorang menteri di Sabah. Peserta fasa pertama telah pun untung 300 persen kerana harga dan permintaan tinggi rumpai laut dari seantero dunia. Tak perlu buat apa-apa. Cuma labor dan tunggu keuntungan selepas bulan ke 13. Wau! Syoknya.

Setahun kemudian, terpampang di tajuk akhbar taiblot perihal penipuan skim pelaburan berkenaan. Opis syarikat dan tapak semaian disebu pihak berkuasa. Pengarah syarikat dah lari ke luar negara dengan wang pelaburan peserta berpuluh juta Ringgit Malaysia.
 “waduh, nasib baik aku dengar nasihat kau dulu. Nasible aku tak melabur” jawab saya kepada rakan saya itu semasa duduk minum di kopi korner opis berhawa hamis (aircon selalu rosak). Kawan saya kelihatan menunduk kepala ke bumi. Ada titis jernih saya kesan di wajahnya.
 “aku tertipu syam, entah apa gatalnya aku contact salesgirl tu. Saje je nak tanya lebih lanjut pasal pelaburan dan kompeny tu. Dia ajak lepak kat coffee house dengar investment briefing. Last-last aku terjebak dengan pujuk rayunya”
“berapa banyak kau rugi?” Tanya saya dengan simpati.
 “puluh ribu jugaklah. Aku siap buat personel loan lagi.”

Sedih saya mendengar cerita malang kawan saya itu. Mungkin itulah agaknya yang dilagukan oleh M. Nasir dalam kias fansuri. ……Siapa Tahu..betapa berat cinta yang ditanggung…Sehingga dia sanggup lakukan….Biar apa saja demi mendapatkan …Restu Sultan cahaya hatinya….


 Cerita 3
Bandar Indahpura, April 2008.

Abang Mat, jiran saya di Bandar Indahpura telah selesa menjawat jawatan tinggi di sebuah kilang orang putih di Senai. Jarang benar saya bertembung dengannya kerana dia selalu bertugas disebelah malam. Tiba-tiba satu pagi, saya lihat beliau sedang mencangkul rumput liar di depan rumahnya sambil bersiul senang hati.

“Eh, tak kerjake malam tadi Abang Mat? Biasa jam 10 baru balik.” Tanya saya dengan ramah.
“Abang dah berhenti kerja, Syam. Sekarang abang Mat nak jadi usahawan. Ternak lintah” Ehhh….Macam biasa je..saya dengar tagline berkenaan..Oh! Ya..dalam majalah ujang oleh PokCik Kaya….

 Seterusnya Abang Mat memberitahu bahawa beliau telah mengikuti kursus ternakan lintah di Lembah Kelang. Siap bengkel 3 hari lagi. Abang Mat cuma perlu cari tanah dan buat kolam. Semua benih lintah, ubatan dan makanan dijual oleh syarikat yang menyediakan kursus lintah berkenaan. Selepas itu, bila lintah dah matang, syarikat akan membeli semula lintah daripada peserta kursus. Dengarnya lintah adalah komoditi berharga yang dijual mahal kepada syarikat ubatan antarabangsa.

Dipendekkan cerita, Abang Mat nekad ingin menjadi usahawan dan penternak Melayu Glokal. Selepas berhenti kerja dari jawatan ribuan hinggit sebulan, beliau berjaya menyewa tanah di hujung desa sawit isterinya. Dengar cerita lebih RM50k beliau dan isteri laburkan. Semua yang bakal diusahakan adalah dari titik peluh benget yang mengalir dari urat tangan yang bersilang kejap. Ini bukan pelaburan dari air liur duduk goyang kaki. Ini pelaburan dari usaha ternak yang berpaksikan keringat, darah dan air mata kata Abang Mat yang berjiwa kental.

Saya anggukkan kepala. Diam dan bersetuju. Tak berani menyanggah walau sepatah kerana di tangan Abang Mat ada mata cangkul. Cangkul kepada seorang usahawan tani atau usahawan ternak umpama mata pedang bagi seorang pahlawan terbilang.

Sesudah itu, saya berhijrah ke Bukit Solaris dan tidak ketemu Abang Mat lagi sehinggalah dua tahun kemudian saya bertembung dengan abang Mat di depan kedai Mamak ketika ingin membeli roti bom di Indahpura. Saya pelawa beliau untuk menikmati segelas teh tarik. Beliau kelihatan sangat tidak terurus.

“Lama jugak kita tak jumpa. Camna Abang Mat dengan projek lintah hari tu?”
“Tak payah tanyalah Syam, buat sakit hati aku aje. Kompeny tu penipu besar!” gerutu Abang Mat. Setelah berjuta peluh jantan Abang Mat curahkan bagi menjayakan projek ternakan lintahnya, barulah beliau tersedar yang syarikat tersebut hanya ingin mengambil kesempatan. Benih lintah, ubatan dan makanan dijual dengan harga yang mahal manakala lintah dewasa yang dibeli daripada peserta projek dengan harga yang rendah dengan alasan penawaran lintah di pasaran banyak kerana sudah ramai peserta. Setelah setahun dan kerugian berpuluh ribu, Abang Mat berhenti dari menjadi usahawan ternak dan membawa teksi di JB.

Inilah 3 kisah yang ingin saya coretkan. Nasihat saya. Janganlah Melabur dan tak perlulah melabur lagi. Kerana apa? Kerna di dunia sekarang lebih ramai conmen seperti lintah-lintah Abang Mat yang kerjanya hendak mengisap ringgit Malaysia manusia yang dungu seperti kita.

 3 alasan saya kenapa kita patut hentikan kerja-kerja labor dan lebur ni adalah kerna pertama melabur tak semestinya untung. Kedua dah terlampau ramai manusia yang tidak amanah menawarkan pelaburan amanah atas bermacam nama program usahawan, projek francais dan bermacam amanah saham yang manusia-manusia seperti kita sendiri pun tak paham-paham macaman ianya boleh menawarkan pulangan keuntungan berlipat ganda. Dan ketiga, jika ada manusia jujur dan program yang dibacking oleh kerajaan pun, jika wang dan hinggit terpampang di depan mata, nafsu rasukan boleh menguasai minda. Yang dilabur akan lebur. Wang hinggit boleh diganti tapi kepercayaan sanak sedara dan rakan taulan akan hilang sekelip mata dan kita yang tersilap menjadi agen pelaburan tak bertauliah boleh merana dihina dan dikeji.

Sekiranya ada untung bisnes atau duit gaji yang lebih dan selepas ianya dizakatkan, disedekahkan kepada yang memerlukan, lebihan tersebut wajarlah kita simpan sahaja. Boleh saja menyimpan di dalam tabung atau di bawah bantal. Mana tahu kot-kot esok ada wang perak dibawah tilam kita. Ataupun simpan sahaja di institusi yang lebih dipercayai seperti di tabung Haji atau ASB. Ada atau tidak dividen kita tak ambil kisah. Tinggi atau rendah bonus tahunan kita tak ambil peduli. Kerana apa? Kerana niat kita adalah untuk menyimpan dan bukan untuk melabur. Seperti pesan arwah opah saya dulu, kalau menyimpan, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Rupanya orang dulu lebih bijak menyimpan duit dan harta berbanding orang zaman melayu internasional sekarang. Apa ya…pepatah lama orang dedulu tentang labor-melabur ni?

 Jika ingin juga melabur, kajilah dulu asal usul kompeni dan orang yang kononnya amanah dalam pelaburan berkenaan. Janganlah hanya melihat keuntungan yang dijanjikan atau rupa cantik jurujual yang buat close up talk. Tapi lihatlah dari pelbagai segi. Seperti kata-kata M. Nasir yang bertanyakan kepada Hud-hud… Lihat Dunia dari mata burung …atau dari dalam tempurung…yang mana satu engkau pilih…

Nasihat saya…tak payahlah melabur. Jika hasrat hati kuat nak melabur, kita mesti rajin menyemak, menyiasat dan menyiasat skim pelaburan tersebut. Lebih baik duit lebih yang kita ada kita simpan atau gunakan untuk memulakan satu perniagaan yang kita sendiri boleh kawal input, proses dan outputnya…jangan jadi seperti Abang Mat, jiran saya yang tidak hanya hilang keringat, darah dan air mata tapi puluhan ribu hinggit.

Rabu, 15 Februari 2012

Pengembala sebagai Profesyen terhebat masakini

Jangan terkejut jika ada remaja masakini menyimpan cita-cita tinggi untuk menjadi pengembala lembu apabila dewasa. Masakan tidak masuk akal kalau diberitahu, gaji seorang pengembala lembu masa kini adalah sekitar RM35,000 – RM45,000 sebulan. Belum lagi sekiranya menjadi ketua gembala atau kepala mandur, boleh cecah RM100,000 sebulan. Waduh enak sekali! Yang pasti tidak perlu ribut-ribut pasal belanja petrol dan tempat tiduran. Kalau gembala lembu di lembah Praire atau lembah Canterbury diberi kuda baka terbaik untuk mengawasi lembu-lembu di padang ragut, kini di Malaysia, profesyen gembala lembu akan diberi kereta Mercedes seorang sebijik untuk memudahkannya menjalankan tugas mengawasi keluar masuk lembu dari kandang. Pengembala lembu di Malaysia juga akan diberi kad kredit sehingga limit RM182,000 sebulan bagi tujuan-tujuan entertainment profesyennya terutama sekali dalam soal untuk membelanja minum-minum tukang sembelih lembu dan tukang kumpul taik lembu untuk dibuat baja. Pengembala lembu di Malaysia kini juga layak diberi sebuah kondominium mewah sebagai tempat tiduran dan bukannya seperti di zaman P. Ramlee yang tidurnya di dalam kandang. Bagi tujuan menenangkan fikiran, pengembala lembu di Malaysia juga diberi kemudahan kondo percutian di luar negara. Hingga setakat ini, pilihan destinasi percutian dengan kondo sophisticated terkini adalah di Marina Bay, Singapura dan bakal menyusul di lain-lain negara di masa hadapan. Dengan tawaran gaji lumayan beserta kemudahan tempat tinggal kondo eksklusif, benz, kad kredit dan peluang percutian ke luar negara, sekaligus menjadikan kerjaya sebagai Penggembala lembu adalah profesyen paling hot dan paling diminati oleh remaja dan lepasan kolej masakini. Hebat-hebat, jika ada sesiapa daripada parti keris bersilang yang keras kepala tidak setuju dengan faedah-faedah sebagai pengembala lembu seperti yang dinyatakan di atas, bersedialah dengan alasan yang benar kerana jika tidak, akan dibaling dengan tahi lembu oleh pengembala-pengembala lembu nanti. Dan tentunya informasi yang paling hot, ialah bagi setiap kandang lembu yang berjaya dibina oleh mana-mana pengembala lembu di Malaysia masakini, layak menerima bantuan pinjaman mudah disebut soft loan sehingga RM250 juta sekandang daripada kerajaan parti cap dacing. Hingga kini dikatakan, tempoh pinjaman dan amaun bayaran pinjaman sebulan yang perlu dibayar juga masih belum jelas untuk dimuktamadkan. Yang pasti setiap kandang lembu yang siap, layak mendapat soft loan tadi dalam tempuh yang singkat. Wah! Betapa beruntungnya profesyen sebagai pengembala lembu masakini. Dan berada di dalam kerugianlah manusia-manusia yang ada ijazah atau sarjana dan mempunyai pengalaman bekerja dengan lembu-lembu di Malaysia jika tidak bertukar kerjaya segera menjadi pengembala lembu di Malaysia.

Khamis, 3 November 2011

Kisah Benar modal bisnes RM23 ribu

Salam, lama betul tidak berblog. Bermacam cerita terjadi kepada saya. InsyaAllah di lain masa akan saya blogkan. Kali ini kisah benar yang terjadi kepada saya 2 tahun lalu. Kisah seorang rakan ofis yang baru tukar kereta Toyota wish. Saya tanya direct kat dia. “Loaded kau sekarang bonus takde, naik pangkat takde, tetiba je beli wish. Rumah baru pun hebat” terus terang saya memuji.
“aku sekarang dah senang sikit berkat buat MLM hai-o, kau pun boleh join, senang je. Invest RM23 ribu je. Bukan duit kau pun, duit bank aje. Kitarang tolong pusingkan”
“Banyak tu, setahu aku masuk MLM paling kuat 300-400 RM je”

“itu cara kuno, kucing berjanggut pun kau takkan kaya. Dengan RM23 ribu kau beli pangkat. Maknanya, kau jadi downline aku, lepas tu downline kau adalah kau juga. Bertingkat-tingkat. Lepas tu kau perlu cari 3-4 orang kawan kau yang sanggup jadi downline kau. Invest RM23 ribu jugak. Barulah kau cepat jadi kaya. Kau tak usah takut, kita bukan system pyramid. RM23 ribu untuk kau beli 10 penapis air atau 10 pakaian dalam wanita. Produk tu kau jual, kau dapat balik duit kau RM23 ribu. Lepas tu mana-mana downline masuk, kau dah dapat duit upline setiap bulan.”

Saya terdiam. Tanpa banyak soal, temujanji diatur. Tidak cukup kena tarbiyah di opis 2-3 jam, kat rumah saya geng MLM ni datang. Akhirnya saya surrender. Borang pinjaman peribadi cuma tunggu saya tenyeh signature aje. Segala butiran dah ada orang dalam bank yang akan isikan dan uruskan. At last saya minta tempoh 3 hari untuk saya berfikir. Ada 3 perkara. Pertama, maklumat yang saya dapat tentang aktiviti MLM sykt Hai-o ni saya tak tahu. Kedua, invest RM23 ribu tu banyak . siap kena buat personal loan 10 tahun lagi. Kalau suksess oklah, tapi kalau gagal camna? Ketiga , mampukah saya buat MLM?

Saya Tanya 5-6 orang . ada yang pro dan ada yang negative. Malam hari yang ketiga, saya tersimpuh disejadah selesai solat isya’. Memohon kepada Allah agar diberikan petunjuk. Malam itu saya benar-benar buntu. Segala pujuk rayu kawan opis tadi terngiang-ngiang di kepala. Dalam keadaan mamai dan mengantuk, saya tiba-tiba terfikir, apa kata saya google kat internet. Saya nak cari pula komen dan pendapat orang ramai yang pernah masuk hai-o. Dari jam 9 malam, akhirnya hingga jam 4 pagi baru saya habis menggoogle. Ya, Allah. Syukur. Saya temui kebenarannya.
Esoknya, pagi-pagi lagi saya pulangkan semula borang permohonan personal loan tu kepada kawan ofis tersebut. Dia tanya kenapa saya tak jadi join? Saya jawab mudah aje. Saya nak cari rejeki yang berkat. Saya takde RM23 cash untuk buat modal. Dan saya tak sanggup nak buat personal loan. Dan saya juga takde kawan yang kaya raya yang ada RM23 ribu untuk labor dalam hai-o. dan saya terus blah. Kawan saya tu, seminggu tak cakap ngan saya. But who cares? After that dia ngan saya masih lagi berkawan sebab satu opis tetapi tidak lagi bersahabat.

Bagi saya secara jujurnya, ingin mengajak rakan-rakan sekalian. Kita tolak apa jua bentuk MLM. Janganlah terlibat lagi dengan aktiviti yang saya rasa sangat merugikan. Ada banyak sebab mengapa saya katakan MLM itu sebenarnya adalah satu bentuk scam dan penipuan.

1. 90% produk MLM adalah tidak berkualiti, merbahaya, penuh penipuan dan ada juga tidak diluluskan oleh pihak berkuasa. Ada yang akan kata syarikat MLM ada testimony. Itus emua boleh buat. Cuba fikirlah kalau betullah produk tu berkualiti, dah tentu pakar-pakar professional dalam sesuatu bidang akan berebut order stok daripada syarikat MLM tu. Contohnya pakaian dalam wanita ada infrared? Biar betul? Mana kajian saintifik dan ilmiah? Setakat testimony pengguna terdahulu tak main. Kalau betul baik sangat dah lama hospital pakar swasta beli berguni-guni untuk patient diarang. Tak payah tunjuk product tu kat doctor, tunjukkan kat amah cleaner hospital pun diorang dah gelak.

2. Syarikat MLM nak kongsi keuntungan dengan pengguna. Tak perlu guna basicbisnes dan marketing konsep. Tak perlu kedai outlet, warehouse, dealer dan retailer. Semua tu cut out. Terus dari kilang kepada pengguna. So untung tu ahli MLM sebat? Itulah fakta paling lawak. Kalau betul macam tu berniaga boleh untung, lebih baik syarikat Nestle terus jual dari kilang kepada rakyat. Come onlah, kalau betullah produk tu bagus dan boleh untung banyak, buat apa nak kongsi dengan orang lain. Yang kongsi untung adalah 5 level upline dengan taukeh MLM je. Paling haru ialah harga produk MLM sebenarnya adalah 10 kali ganda lebih mahal dengan harga produk yang jauh lebih baik yang terdapat di pasaran.

3. Walau apapun, sebab utama saya tolak MLM ialah kerana sumber rejekinya yang saya rasa tiada barakah. Saya tidak kata haram kerana saya tiada kelayakan agama untuk membuat dalil berhubung MLM. Cukup ramai dah ustaz dan pakar ekonomi muamalah syariah yang telah komen berhubung isu ini dan kesimpulannya adalah harus. OK saya terima. Tetapi kemashalatan umat itu luas. Pekerjaan dan rezeki yang diterima daripada aktiviti MLM adalah harus bagi pendapat ulamak Malaysia. Tetapi soalan yang ingin lontarkan ialah dimana barakahnya kepada umat islam dan rakyat Malaysia. Terlalu banyak kajian, kes dan perkara yang membabitkan MLM dibayangi sebagai penipuan. Lagipun, rezeki MLM ini lebih kurang sama je dengan kerja broker-broker diluar sana yang ingin mencari untung atas angin. Percayalah duit yang kita dapat dari untung atas angin tak kemana pun perginya dan tak barakah. Wang keuntungan itu akan hangus begitu sahaja dan tidak akan dapat digunakan untuk membeli asset dan dibelanjakan untuk kebajikan manusia lain.

4. Setahu saya di dunia dan di Malaysia, tidak ada orang yang baik hati dan jujur kepada semua makhluk menjadikan MLM sebagai profesyen sepanjang hayat kecuali manusia itu adalah penipu dan scammer. Cuba beritahu saya seorang manusia yang baik hati dan jujur memberitahu yang dia lepas SPM sehingga pencen umur 55 tahun mencari rejeki dengan MLM. Fikirlah sendiri kenapa ya? Satu lagi saya masih mencari-cari diantara 25 orang Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah swt yang pernah menjadi ahli MLM dan broker yang suka ambil untung atas angin.
5. Akhirnya system MLM itu sendiri dicipta oleh bangsa Yahudi yang mana diketahui 99.99% ahli sesebuah MLM akan gagal. So kalau dah gagl buat apa nak join lagi? Ingatlah dalam MLM wang ringgit setiap ahli yang datang datang dari 3 sumber iaitu jualan produk, komisen kerja downline dan bonus tajaan. Semua itu adalah system pyramid dan haram disisi undang-undang negara dan agama. Masih nak join jugak? Itu belum lagi kalau saya ceritakan tentang hukum graf kumulatif pengguna MLM yang akhirnya akan crash dan tepu pasaran.

Akhirnya, saya ingin satu pepatah lama, kalau kita tidak ingin hilang kawan, jangan pinjam duit dan pinjamkan dia duit. Tapi saya seronok nak tambah lagi iaitu jangan ajak kawan kita join MLM, kesudahan kita akan hilang semua kawan kita.

Kesimpulan saya semua MLM adalah Scam. Fullstop. Kalau terasa nak tambah pendapatan, lebih baik kita buat kita buat bisness atau mengambil upah. Kita buat bisness yang betul. Takde short cut untuk jadi kaya dan tamak. Mula-mula belajar dan cari ilmu tentang sesuatu bidang bisness atau kerja yang ingin kita ceburi. Contohnya kita belajar ilmu teknikal sesuatu benda, ilmu pasaran dan ilmu kewangannya, kumpul dan keluarkan modal serta mulakan bisness. Kalau nak cari duit lebih dengan ambil upah berhubung sesuatu perkara, teruskan tapi sebaiknya jangan ambil untung atas angin. Jika kita tahu ada pembeli yang inginkan sesuatu produk, jangan terus ambil duitnya dan beli daripada penjual yang kita kenali. Kita tidak berbuat apa-apa pun. Kita cuma jadi beroker dan ambil untung atas angin. Kita keluarkan duit kita dahulu dan beli keseluruhan produk yang diingi dan jual kepada pembeli yang sudah menunggu. Namun adalah lebih baik lagi bila kita sendiri mengusahakan dan membina sesuatu. Sebab itulah dipanggil usahawan. Kita keluarkan modal, kita tukarkan sesuatu bahan mentah kepada barang siap dan kita buat marketing dan menjual. Percayalah, ia penuh dengan barakah, keuntungan dan kepuasan diri.

Jumaat, 1 Julai 2011

Naik Pangkat?

Hari ini saya mengambil cuti tahunan sehari. Membawa keluarga bersiar di Zoo Melaka. Hati ini geletek melihat gelagat anak yang mencuit hati. Namun jauh disudut hati. Saya sebenarnya kecewa. Motivasi kerja saya berada di tingkat yang paling rendah. Hari jumaat lalu, organisasi dimana saya bekerja akhirnya mengumumkan keputusan pemilihan pegawai ke level pengurus dan malangnya nama saya tidak tersenarai. Sebenarnya saya kecewa bukan kerana nama saya tidak terpilih. Saya akur dengan ketentuan tuhan, masih ramai lagi pegawai senior yang belum naik pangkat. Saya redha andai mereka didahulukan sebab usia mereka bersama organisasi bersisa 3-5 tahun lagi. Namun yang saya ralatkan ialah terdapat nama-nama yang saya rasakan belum layak jika berbanding saya.

Sudah 12 tahun saya setia di organisasi ini. Jika fikir tentang gaji atau benefit sudah lama saya tinggalkan. Tapi satu perkara yang membuatkan saya menyayangi organisasi ini adalah kerana ilmu yang telah saya perolehi. Selama 12 tahun saya sanggup bersusah payah mencurahkan segala bakti kepada organisasi ini. Namun 2 tahun lepas, saya menerima email daripada HRD bahawa terdapat kekosongan yang banyak dijawatan pengurus dan pengarah kesan daripada transformasi organisasi seperti yang dicanangkan oleh CEO dalam ucapan-ucapannya. Saya menyahut cabaran tersebut dengan menghadiri temuduga kenaikan pangkat 2 tahun lepas. Punyalah payah . soalan-soalannya sahaja lebih sukar berbanding ketika temuduga permohonan kerja dahulu. Namun, saya yakin saya telah berjaya menjawab semua soalan dengan betul dan mesra.

Selepas sesi temuduga selesai pada april 2009, saya sering mendapat khabar angin mengatakan senarai kenaikan pangkat akan keluar selaras proses transformasi organisasi. Tiada jaminan pegawai yang dinaikkan pangkat akan kekal di sesuatu jabatan atau cawangan. Para pegawai juga dimaklumkan bahawa beberapa KPI akan diseliakan dan dijadikan asas kenaikan pangkat selain daripada markah temuduga. Antaranya jumlah jam sumbangan masa atau OT dalam setahun, prestasi kerja yang cemerlang dan penglibatan dalam organisasi. Semua perkara ini ditekankan berulang kali oleh pengarah Cawangan saya setiap kali mesyuarat bulanan. Terkesan dengan semua itu, saya tangguhkan hasrat untuk membeli rumah di lembah kelang takut-takut ditukarkan ke cawangan luar KL sekiranya dinaikkan pangkat. Tak cukup dengan itu, saya berusaha gigih setiap hari, setiap bulan dan sepanjang tahun memastikan prestasi kerja yang cemerlang dan melakukan kerja selepas waktu pejabat hampir setiap hari. Saya juga berusaha kekal aktif dalam kelab dan mewakili organisasi dalam acara sukan. Beberapa tawaran pekerjaan lain yang saya terima selepas itu juga saya tolak kerana sayangnya saya kepada organisasi ini. Seperti lirik sebuah lagu popular, kasihku tiada banding, setiaku tiada tara, bagaimanapun jua…

Setelah dua tahun, akhirnya senarai nama pegawai yang dinaikkan pangkat keluar. Nama saya tiada dalam senarai. That’s it. End of the story. Sedih dan kecewa. Tapi lebih kecewa bila terdapat nama-nama pegawai yang kurang layak berbanding saya dinaikkan pangkat. Ada pegawai yang dinaikkan pangkat tetapi punya prestasi kerja yang kurang cemerlang. Ada pegawai yang lansung tidak mencukupi syarat-syarat minimum yang ditetapkan pun seperti jumlah sumbangan masa yang tidak mencukupi dan tidak aktif dalam kelab dan persatuan. Nah ! terasa betapa naifnya saya. Betapa saya terlupa wujudnya perkataan kroni dan kabel dalam kamus hidup manusia. Rupa-rupanya, dalam senarai tersebut terdapat nama-nama yang dicalonkan oleh pengarah-pengarah negeri, cawangan dan jabatan dan nama saya tiada. Saya sememangnya tahu bahawa dalam politik pejabat , ini perkara biasa. Secara jujurnya, saya sangkakan HRD akan memilih pekerja yang telah berusaha gigih menunjukkan prestasi cemerlang di dalam kerja, temuduga, sumbangan masa dan penglibatan. Saya fikir transformasi yang dicanangkan oleh CEO dan pengarah-pengarah atasan adalah telus dan adil. Rupanya adalah palsu semata, semua kata-kata peransang CEO untuk kenaikan pangkat berdasarkan merit prestasi seseorang pegawai hanyalah retorik belaka. Saya tertipu dengan satu harapan palsu. Naifnya saya.

Memang saya kecewa tapi ada insan yang lebih kecewa lagi iaitu ibu saya. Saya tahu dalam doa dan sujudnya tidak pernah sekalipun beliau terlupa mendoakan untuk saya. Bukan wang ringgit saya yang beliau mahukan tetapi apa yang dikehendakinya ialah saya mampu hidup lebih bahagia dengan kenaikan pangkat dan kenaikan gaji yang bakal diperolehi.

Kerana kekecewaan ini juga membuatkan saya terdiam dan termenung. Merenungi akan kesalahan-kesalahan yang telah saya lakukan. Bukan sedikit doa yang telah saya pohonkan dari ALLAH. Namun dalam kesedihan itu, saya sempat membaca sebuah majalah bernama solusi yang pernah saya beli setahun lalu tentang murtajabnya doa seorang hamba ALLAH. Terasa betapa hinanya saya yang hanya tahu memohon doa kepada tuhan sedangkan selama ini saya selalu alpa dalam mensyukuri nikmatNya. Seharusnya saya harus bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi daripada ALLAH dan bersabar dengan sesuatu yang ditentukan ALLAH. Ada hamba yang dimakbulkan doanya serta-merta. Dan ada juga hamba ALLAH seperti saya yang doanya ALLAH tangguhkan pada waktu yang lain kerana ALLAH jua yang Maha Mengetahui sesuatu yang terbaik untuk hamba-hambanya.

ALLAH kurniakan kekayaan setelah ada dalam hati seorang hamba itu ada rasa syukur supaya ia tidak menjadikannya kufur dengan kekayaan. ALLAH juga kurniakan kekuasaan setelah wujud dalam hati seseorang hamba rasa tawaduk dan sifat adil supaya ia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa. Akhirnya saya bersyukur kepada ALLAH dan redha dengan ketentuanNya. Mungkin doa saya untuk naik pangkat akan dikabulkan ALLAH pada waktu yang lain. Sebenarnya seringkali ALLAH menahan pemberianNya kerana kasih sayangNYa terhadap seseorang hamba. Dinukilkan oleh Prof Dr K.H. Muhibuddin dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: Kadang-kadang ALLAH memperlambatkan dalam memperkenankan doa mereka kerana ALLAH sangat suka dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-hambaNya itu kepadaNya.

Seusai sampai dirumah selepas pulang dari berjalan-jalan di Zoo Melaka, saya segera menunaikan solat zohor kemudian berzikir dan memohon keampunan dari ALLAH atas segala dosa-dosa saya. Saya juga tidak lupa berdoa agar diberikan rezeki yang halal untuk diri dan keluarga. Fikiran saya mula tenteram dan aman. Saya redha dengan semua ketentuan ALLAH.Kita hanya mampu merancang dan berdoa. ALLAH jua yang maha berkuasa atas segala-galanya dan sekiranya ALLAH berkehendakkan sesuatu perkara yang baik atau yang buruk itu terjadi , maka akan terjadilah ia. Kun faya kun.

Rabu, 1 Jun 2011

Pesan Pak Kiyai

Ceramah Maulidur Rasul 2011 Masjid WPKL. Segar diingatan saya minggu lalu, saya berkesempatan singgah untuk membaca Yassin malam jumaat di masjid WP Kuala Lumpur di Jalan Duta. Seusai doa maghrib, imam muda yang memimpin solat terus menyerahkan microfon kepada seorang ustaz yang saya biasa lihat wajahnya. Secucuk tubuh kurus lampai kiyai Gymnastiar dari Indonesia yang selalu muncul dengan ceramah pengurusan kalbu menampakkan senyuman ikhlasnya.

Dikesempatan ini ingin saya sampaikan pesanan beliau dalam ceramahnya untuk kita menghayati bersama dan moga ilmu yang ada dapat dikongsi bersama untuk kebaikan semua.
Menurut kiyai Gymnastar, jika kita ingin melakukan amalan baik yang ikhlas, hendaklah kita melakukan semua amalan kebaikan dengan keikhlasan hati. Untuk perolehi keikhlasan hati hendaklah diamalkan 5 perkara berikut;
1. Amalan kebaikan yang dilakukan jangan ingin diketahui oleh orang lain
2. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dilihatkan kepada orang lain
3. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dipuji oleh orang lain
4. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dihargai oleh orang lain
5. Amalan kebaikan yang dilakukan Jangan ingin dibalas budi kita oleh yang menerimanya.

Menurut kiyai Gymnastiar juga pujian yang kita terima dari manusia di muka bumi ini adalah kerana Allah swt telah menutupi setiap insan dengan tiga perkara iaitu kulit, Akal & hati dan dosa serta lemah diri. Jika Allah perlihatkan segala akal jahat, buruk hati, dosa-dosa yang kita telah lakukan serta segala kelemahan diri untuk tatapan manusia lain, nescaya kita akan tergolong dalam manusia yang penuh kehinaan di muka bumi ini. Tetapi Allah swt menutupi segala yang buruk dalam diri kita dari pandangan manusia lain. Jesteru itu hendaklah kita insaf dan membaiki segala buruk dan hodoh dalam diri dan jiwa kita.

Beliau juga menggariskan amalan-amalan kebaikan yang boleh meningkatkan martabat kita di sisi Allah swt . Antaranya ialah;
1. Jangan membalas keburukan yang diterima dengan perlakuan keburukan kita. Sabarlah dan insafi diri. Segalanya ujian dari Allah swt.
2. Jangan jadi megah dan bangga dengan hormat (penghormatan) orang lain. Ada orang hormat kita kerana kebaikan kita, ada orang hormat kita kerana ilmu kita dan ramai orang hormat kita kerana kekayaan dan pangkat yang kita miliki.
3. Jadilah jujur dengan diri sendiri. Maka nescaya kita juga akan jujur dengan manusia lain dan dengan Allah swt. Segala pangkat dan harta adalah amanah Allah swt. Sedarlah dan insafi diri bahawa Allah swt itu maha berkuasa dan di atas segala-galanya.
4. Jika kita melakukan amalan kebaikan lakukan dengan penuh rasa ikhlas dan rendah hati serta lupakan. Lakukan kebaikan dan lupakan. Percayalah Allah swt tidak akan lupa.
5. Akhirnya kita harus mengerti makna ikhlas. Ikhlas itu melakukan kebaikan demi Allah swt dan bukannya demi sesuatu yang lain. Nasihat kiyai Gymnastiar kepada semua ibubapa ialah lakukan tanggungjawab mendidik anak-anak demi dan untuk Allah swt dan bukannya didik anak untuk harapan disuruh anak membalas budi bila kita sudah tua. Jika kita mendidik anak demi Allah swt, maka anak-anak akan sendirinya juga membalas perbuatan kita demi Allah swt juga apabila dia dewasa.


Itulah pesan kiyai Gymnastiar yang sangat mendalam dan menyentuh kalbu saya. Lakukan kebaikan dengan ikhlas dan lupakan. Sentiasa sabar dan insafi diri. Moga saya dan tuan-tuan sentiasa mendapat hidayah Allah swt dan berada di jalan yang lurus. Amin.